Sunday, April 8, 2012

Penyokong Bolasepak Sarawak

Semenjak kembalinya pemain import mewarnai kancah sukan bolasepak negara, akhirnya keghairahan untuk kembali ke stadium kembali memuncak. Zaman terakhir penyokong di Bumi Kenyalang memenuhi kerusi stadium adalah pada zaman ketika Hj. Abdul Jalil Ramli mengetuai skuad Bujang Senang bersama Safee Saili yang bakatnya digilap semasa era tersebut. Namun selepas itu, jarang sekali kita melihat kerusi stadium dipenuhi penduduk sejak Sarawak menjunam ke liga kedua Liga Perdana.
Setiap malam Sabtu dan Selasa penduduk Sarawak teruja untuk memenuhi Stadium Negeri. Ditambah lagi dengan kehadiran dua awang hitam, Guy Bwelle dan Joel Epalle, bekas penyerang kebangsaan Cameroon yang beraksi pada Fifa 2002. Guy yang terkenal dengan aksi lincah ala Robert Eshun menjadi pertaruhan utama penggerak pasukan Ngap Sayot manakala kelibat penyerang import baru Joel Epalle yang menampilkan persembahan sulung ketika menentang Kelantan pada 07.04.2012 nampak terbatas pergerakan disaat dikawal ketat oleh awang import Kelantan.
Walau bagaimanapun, kehadiran penonton adalah amat penting bagi mewarnai semangat sukan tempatan dan seterusnya menaikkan semangat pemain Bujang Senang. Penonton bagai dirasuk semangat Ngap Sayot dikala sering bertindak diluar kebatasan. Gejala negatif ini bagai mencacatkan sedikit kemeriahan perlawanan. Contohnya rusuhan dalam perlawanan menentang Lion XI dan pertempuran penyokong Sarawak dan Kelantan pada malam semalam serta anggota FRU yang dibelasah oleh pihak penyokong. Apakah ini sebenarnya menunjukkan semangat Ngap Sayot yang sebenar? Melihat kepada situasi ini, penyokong bagaikan hilang ketamadunan dan bertindak diluar kewarasan. Sepertimana pada zaman kita melihat Ali Sapiee, Affendi Julaihi, Alistair Edward, John Hunter dan sebagainya pada suatu ketika dahulu, perkara seperti ini jarang berlaku walaupun penonton tampak fanatik dengan persembahan Bujang Senang pada ketika itu.
Namun, sukar untuk dinafikan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku. Pertama, kebangkitan skuad Bujang Senang yang dahulunya terperosok di persada Liga Perdana menyebabkan adrenalin penyokong naik mendadak semasa di dalam stadium. Bak kata lain, keterujaan dan keghairahan memuncak secara mengejut ditambah dengan beberapa siri kemenangan di tempat lawan. Kedua, mutu pengadilan bolasepak tempatan yang semakin diragui menyebabkan penyokong melepaskan amarah terhadap ketidakpuasan hati mereka dengan tindak tanduk yang melampau. Dan ketiga, penggunaan Stadium Negeri yang terbuka dengan ciri kawalan keselamatan yang minimum. Di Stadium Negeri di mana penonton adalah terdedah dengan hujan dan panas menyebabkan penonton kadangkala naik berang terutama sekali semasa perlawanan ketika hujan dan perlawanan pada sebelah petang di mana menyaksikan penonton terdedah dengan panas terik mentari. Nampaknya, pihak pengurusan terutama sekali FAS dan Perbadanan Stadium haruslah memandang serius mengenai perkara seperti ini.
Walau bagaimanapun, kebangkitan penyokong bolasepak Sarawak adalah satu langkah yang amat terpuji dan sedikit sebanyak membantu dalam menaikkan moral Pejuang Bujang Senang di tengah padang. Dengan kehadiran kelab-kelab penyokong seperti Ultracrocs, Sadiehaf dan sebagainya juga amat dihargai dalam mengembalikan kemeriahan di Stadium Negeri. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membantu bagi memeriahkan lagi tempat duduk stadium dan memberikan sokongan patriotik kepada negeri kita dalam arena bolasepak yang paling kita hormati. BUJANG SENANG, NGAP AJAK!!!!!!! Salam.

No comments:

Post a Comment